MELAKA: Tiga anggota polis direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah daripada seorang individu untuk melepaskan beberapa individu lain disyaki memiliki dadah jenis syabu.

SPRM dalam kenyataan berkata Majistret Khairunnisak Hasni membenarkan permohonan reman terhadap tiga anggota berkenaan yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal.

"Kesemua suspek ditahan 7 malam semalam di Pejabat SPRM Melaka bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati suspek meminta wang rasuah daripada seorang individu berjumlah RM800 yang kejadian tersebut dikatakan berlaku di sebuah balai tempat mereka bertugas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

-- BERNAMA